Pemimpin adalah individu yang berupaya mempengaruhi pengikutnya atau orang bawahannya untuk mencapai objektif sesebuah organisasi. Selain daripada memiliki pengetahuan dan mempunyai atitud yang berkesan, seorang pemimpin yang efektif juga perlulah mempunyai kemahiran tertentu untuk membantu mereka dalam memimpin pengikutnya. Berikut adalah beberapa kemahiran yang perlu dimiliki oleh seseorang pemimpin yang efektif.
- Kemahiran berkomunikasi secara efektif
Pemimpin yang efektif mestilah bijak untuk menerangkan matlamat organisasi dan operasi tugas-tugas berkaitan dengan jelas kepada orang bawahannya. Pemimpin mesti bijak berkomunikasi melalui pelbagai jenis komunikasi samada melalui telefon, ‘face to face; , mesyuarat, email, video call dan media masa.
Pemimpin harus mewujudkan bentuk komunikasi yang mantap antara mereka dan orang bawahannya, sama ada melalui dasar pintu terbuka atau perbualan biasa dengan pekerja.
Oleh kerana sebahagian besar komunikasi adalah melibatkan mendengar, pemimpin juga perlu menjadi pendengar yang baik. Pemimpin harus sentiasa bersedia untuk membincangkan isu dan keperluan orang bawahannya.
- Kemahiran memotivasi orang bawahan
Pemimpin yang efektif mempunyai kemahiran untuk memberi inspirasi kepada orang bawahannya untuk mencapai matlamat organisasi.
Pemimpin boleh memotivasi dengan menghargai usaha dan kejayaan orang bawahannya melalui kata pujian, pengiktirafan dan ganjaran atau dengan memberi pekerja tanggungjawab dan kepercayaan.
Selain daripada itu, antara kemahiran yang berkaitan dengan motivasi yang berkesan adalah termasuk membenarkan autonomi pekerja, meminta pendapat, mentoring,
Bersikap terbuka, usaha memujuk, memastikan matlamat jelas dan difahami, menggalakan budaya kerja secara berpasukan, berterima kasih pada orang bawahan , meraikan perbezaan mereka dan lain-lain lagi.
- Kemahiran mendelegasi tugas atau tanggungjawab
Pemimpin yang efektif mempunyai kemahiran mendelegasi tugas atau tanggungjawab kepada orang bawahannya. Pemimpin perlu mengenalpasti apakah jenis tugasan dan tanggungjawab dan mengenalpasti siapakah yang layak untuk melaksanakan tugas tersebut.
Mereka mestilah memastikan hanya mereka yang layak sahaja berdasarkan set kemahiran mereka dengan tugasan untuk tujuan delegasi tersebut. Dengan mengagihkan tugas kepada orang bawahannya, pemimpin boleh memberi tumpuan kepada tugas yang lebih penting dan ini dapat mengurangkan beban dan tekanan yang dihadapi oleh pemimpin.
Dalam usaha untuk mendelegasi, pemimpin mestilah memaklumkan dengan jelas berkaitan tugasan yang diberi, matlamat, proses yang terlibat dan tarikh perlu disiapkan. Selepas mendelegasi tugasan kepada orang bawahan, pemantauan dan ‘follow-up’ perlu dibuat untuk memastikan mereka melaksanakan tugas seperti yang dikehendaki.
Setelah tugasan diselesaikan , ganjaran atau pengiktirafan wajar diberikan kepada orang bawahan ini agar mereka lebih bermotivasi untuk melaksanakan tugas di masa depan.
- Kemahiran mewujudkan persekitaran kerja sentiasa positif
Pemimpin yang efektif berusaha untuk mewujudkan persekitaran kerja yang selamat, kondusif dan positif. Persekitaran yang sebegini akan memotivasikan pekerja untuk bekerja lebih lama di dalam organisasi tersebut dan mereka juga lebih bersedia untuk meluangkan masa yang panjang apabila diperlukan.
Beberapa kemahiran yang membantu mewujudkan suasana positif di tempat kerja adalah mewujudkan budaya penyayang , pengurusan konflik yang adil, mewujudkan hubungan baik, hormat-menghormati, empati, mesra, bekerjasama, bantu membantu, humor, memberi peneguhan positif dan lain lain lagi.
- Kemahiran Meningkatkan Kebolehpercayaan
Pemimpin yang efektif perlu bersikap terbuka dan jujur. Orang bawahan akan lebih terbuka untuk memberi pendapat atau meluahkan perasaan apabila mereka merasakan seseorang pemimpin itu boleh dipercayai, mempunyai integriti dan dihormati.
Antara kemahiran dan kualiti yang boleh membantu untuk meningkatkan kebolehpercayaan sebagai seorang pemimpin adalah keupayaan untuk meminta maaf, berakauntabiliti, beretika, kerahsiaan, konsisten dalam tingkah laku terhadap pekerja, mempunyai kredibiliti, memiliki kecerdasan emosi, kreativiti dan lain-lain lagi.
- Kemahiran membuat keputusan
Pemimpin yang efektif mestilah bijak untuk membuat keputusan. Oleh kerana itu mereka mestilah mempunyai pengetahuan ,berkemahiran dan mempunyai atitud yang baik.
Pemimpin mestilah berupaya untuk lebih kreatif , berinovasi dan berfikir diluar kotak. Orang bawahan akan mengkagumi pemimpin yang bijak dan tidak selalu memilih jalan yang selamat dan konvensional.
Antara kemahiran yang berkaitan dengan pemikiran kreatif dalam membuat keputusan adalah kemahiran secara analitikal, fleksibiliti kognitif, pemikiran kritikal, rasa ingin tahu , merangkul perspektif budaya yang berbeza, berpandangan jauh, imaginatif, menerima idea orang lain, berfikiran terbuka dan lain-lain lagi.
- Kemahiran memberi dan mendengar maklum balas
Pemimpin yang efektif sentiasa mencari peluang untuk menyampaikan maklumat berguna kepada orang bawahannya tentang prestasi mereka. Dengan mengajar mereka cara menambah baik prestasi kerja mereka dan kemahiran membuat keputusan mereka, pemimpin akan merasa lebih yakin menyerahkan tugas kepada orang bawahannya.
Orang bawahan akan menghormati pemimpin yang memberikan maklum balas dengan cara yang jelas tetapi penuh berhemah dan rasa empati.
Beberapa kemahiran untuk memberikan maklum balas yang jelas adalah mempunyai bersikap terbuka untuk menerima maklum balas, membina keyakinan pekerja, memberi maklum balas yang kerap, mendengar jawapan pekerja, mentoring, memberi peneguhan positif, memberi nasihat, hormat-menghormati dan lain-lain lagi.
- Kemahiran memikul tanggungjawab dan tidak menyalahkan orang lain
Pemimpin yang efektif bertanggungjawab atas kejayaan dan juga kegagalan pasukannya. Mereka bersedia menerima kesalahan apabila sesuatu usaha tidak berjalan dengan baik dan tidak menyalahkan orang lain diatas kegagalan tersebut. Pemimpin yang suka menyalahkan orang lain adalah pemimpin yang tidak dihormati oleh orang bawahannya.
Antara kemahiran dan kualiti yang membantu pemimpin untuk menyampaikan tanggungjawab adalah mengakui kesilapan, sentiasa terbuka kepada maklum balas pelanggan, menilai penyelesaian yang terbaik , bijak membuat ramalan ,belajar dari kesilapan lalu, mendengar maklum balas daripada pekerja dan pengurus perancangan projek, reflektif, menyelesaikan masalah, ketelusan dan lain-lain lagi.
- Kemahiran komitmen
Pemimpin yang efektif sentiasa komited dalam menjalankan tugasa. Mereka sentiasa meluangkan masa untuk menyelesaikan semua tugasan, walaupun mereka dibebani dengan pelbagai tugasan atau situasi yang diluar skop tugasnya. Mereka menjadi role model kepada orang bawahannya.
Seorang pemimpin tidak boleh mengharapkan pengikutnya untuk komited melakukan sesuatu tugas sedangkan mereka sendiri tidak boleh melakukan perkara yang sama dengan baik.
Beberapa kemahiran yang berkaitan dengan komitmen di tempat kerja adalah komitmen kepada objektif organisasi, mempunyai keazaman, membangun secara profesional, patuh dan taat, menepati janji, ketabahan, memberi keutamaan pada tugas yang penting dan segera, profesionalisme, bekerja sebagai satu pasukan, komited kepada etika kerja dan lain-lain lagi.
- Kemahiran untuk lebih menjadi pemimpin fleksible
Pemimpin yang efektif tidak terlalu rigid. Mereka menerima perubahan yang berlaku selagi ianya diterima akal dan memberi manfaat kepada organisasi. Mereka bijak membuat jangkaan, membuat dan menerima perubahan serta boleh menyelesaikan masalah secara kreatif. Mereka juga terbuka kepada cadangan dan maklum balas. Orang bawahan selalunya sangat menghargai keupayaan pemimpin yang fleksible.
Antara kemahiran yang berkaitan dengan fleksibiliti adalah termasuk keupayaan untuk mempelajari kemahiran baru, keupayaan untuk bertindak balas terhadap masalah atau isu baharu, kebolehsuaian, membuat penambahbaikan, berunding, selalu terbuka kepada maklum balas, mengiktiraf kekuatan dan kemahiran orang bawahannya, melayani orang bawahannya sebagai individu dan lain-lain lagi.
Sesseorang pemimpin yang efektif perlulah mempunyai pengetahuan , kemahiran dan atitud yang positif dan efekif. Mereka mestilah berkemahiran untuk berkomunikasi dengan berkesan, memotivasi orang bawahannya, mendelegasi tugas atau tanggungjawab, mewujudkan persekitaran kerja yang selamat, positif dan kondusif, meningkatkan kepercayaan, membuat keputusan, memberi dan mendengar maklum balas, memikul tanggungjawab dan tidak menyalahkan orang lain, mempunyai komitmen dan bijak memimpin secara fleksible.
Kredit; UTM News Hub